My official website

Saturday, January 08, 2011

Kegigihan Para Ulama di dalam Arena Keilmuan

Sayyid ‘Alawi Al Maliki pernah dinasihati oleh doktor supaya berehat di rumah kerana keadaannya yang tidak sihat. Namun beliau menjawab dengan katanya “Kerehatanku ialah ketika menyampaikan pengajaran. Jika Izrail datang pada waktu itu untuk mencabut nyawaku, aku akan berkata kepadanya, “Tunggulah dulu sehingga aku selesai mengajar pada malam ini”.


Ketika beliau berada di dalam kereta semasa bermusafir, Sayyid Muhammad ibn ‘Alawi Al Maliki sering ditanya ayahandanya Sayyid ‘Alawi Al Maliki, “Apa yang hendak kita baca sekarang?”


Sayyid Muhammad ibn ‘Alawi Al Maliki Al Hasani menyebut “Sesungguhnya aku tidak mampu hidup tanpa mengajar. Aku tidak merasa gembira bahkan semasa musafir kecuali dengan menyampaikan ilmu dan menghadiri halaqah-halaqah ilmu”. Kerehatan dan ketenangan bagi beliau ialah apabila menemani waktunya dengan ilmu. Setiap hari beliau akan mengajar lebih daripada 15 subjek. Malah beliau lebih tekun daripada anak muridnya sendiri.

Catatan yang saya titipkan di sini adalah sekelumit kisah kegigihan para ulama di dalam arena keilmuan. Tujuannya hanya satu. Mencontohi para ulama dalam mencintai ilmu. Semoga ianya menjadi pembakar semangat kita dalam usaha mendampingi ilmu yang kian hari makin dikesampingkan.


Rujukan : Manaqib Tiga Permata Masjid Al Haram, tulisan Sheikh Muhammad Fuad Kamaludin Al Maliki, terbitan Yayasan Sofa (cetakan kedua 2007)

0 comments: