My official website

Sunday, January 15, 2012

Seminar Memperingati Ketokohan Sayyidah Khadijah Al Kubro : Laporan Penuh

Pertama dan selamanya, marilah kita sama-sama merafa’kan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana atas izinNYA jualah Seminar Memperingati Ketokohan Sayyidah Khadijah Al Kubra radiallahu ‘anha wa ardha ha telah disempurnakan dengan jayanya. Selawat dan salam buat kekasih junjungan Rasulullah sallahu alaihi wassalam, para keluarga dan sahabat baginda sallahu ‘alayhi wassalam, mudah-mudahan kita dihimpunkan bersama-sama dengan baginda sallahu ‘alayhi wassalam di yaumul akhirat.



Seminar ini telah dilaksanakan pada 7 dan 8 Mei 2011 bersamaan dengan 3 dan 4 JamadilAkhir 1432H bertempat di Pusat Pembangunan Pendidikan Yayasan Sarawak, Jalan Sultan Tengah, Kuching. Penyertaan Seminar yang julung kali di adakan di Sarawak khususnya dan di Malaysia amnya sangat menggalakkan. Seminar ini berjaya menghimpunkan 500 orang peserta yang datang daripada seluruh bahagian Negeri Sarawak, Kuala Lumpur dan Singapura. Mereka terdiri daripada pelbagai lapisan usia, berkhidmat di Jabatan Kerajaan mahupun swasta, Ahli perniagaan, Ahli-ahli NGO mahupun pelajar-pelajar IPT.


Seminar ini juga telah mencatatkan sejarah buat pertama kalinya Biro Perkhidmatan Pendidikan Majlis Islam Sarawak [BPP-MIS] sebagai penganjur utama bersama dengan Badan-Badan NGO Islam khususnya Bahagian Wanita dengan sokongan Agensi Kerajaan Negeri. Di antara Badan-Badan NGO Islam yang terlibat termasuklah Persatuan Kebajikan Islam Sarawak [PERKIM], HELWA Harakah Islamiah [HIKMAH], HELWA Angkatan Belia Islam Malaysia [ABIM] Negeri Sarawak dan Perkumpulan Wanita Majlis Islam Sarawak [HUMAIRA]


Objektif utama Seminar ini adalah sebagai salah satu usaha yang berterusan untuk mengenali, mencintai dan meneladani tokoh wanita Islam yang hebat seperti mana yang disebutkan di dalam Hadis Rasulullah sallahu ‘alayhi wassalam yang bermaksud;

“ Ada empat wanita yang paling mulia dan penghulu segala wanita,mereka adalah Asiah Binti Muhazim, Maryam Binti Imran, Khadijah Binti Khuwailid dan Fatimah Binti Muhammad”

(Hadis Riwayat Bukhari)


Dalam menjalani kehidupan sebagai seorang wanita, kita memerlukan contoh tauladan yang dapat dijadikan panduan dalam segala aspek kehidupan. Satu-satunya jalan yang menjamin kejayaan hidup di dunia dan akhirat adalah dengan menjadikan Rasulullah sallahu ‘alayhi wassalam sebagai sumber ikutan dan tauladan.


Firman Allah SWT di dalam Surah Ali Imran ayat 31 yang berbunyi;

Katakanlah [Wahai Muhammad]; “Jika engkau mengasihi Allah, maka ikutilah daku, nescaya Allah akan mengasihimu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan [ingatlah], Allah Maha Pengampun Lagi Maha Pengasihani”


Golongan wanita merupakan golongan yang paling hampir dengan Rasulullah sallahu ‘alayhi wassalam. Disebabkan kerana Rasulullah sallahu ‘alayhi wassalam, martabat dan kedudukan wanita menjadi mulia.

Seminar ini telah menampilkan lima pembentang kertas kerja dengan tajuk-tajuk pembentangan yang cukup relevan dan mampu dimanfaatkan oleh para peserta. Kertas Kerja pertama seminar ini telah menampilkan YBhg Ustazah Datin Hajah Aminah Bt Hj Zakaria, Yang Dipertua Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia (SALIMAH) yang membentangkan satu tajuk Keperluan Menggali Khazanah Tokoh-tokoh Islam : Sayyidah Khadijah Al Kubro wanita ikutan sepanjang zaman.


Di dalam pembentangan pertama ini, penceramah telah memulakan bicara dengan membaca hadis Rasulullah sallahu a’layhi wassalam yang bermaksud;

“Sesungguhnya seseorang itu akan dihimpunkan bersama-sama dengan orang yang dikasihinya”


Sekiranya kita mengasihi dan mencintai Sayyidah Khadijah radiallahu anha wa ardha ha maka kita akan dihimpunkan bersama-sama dengan beliau dan sudah pasti dihimpunkan bersama-sama dengan Rasulullah sallahu a’layhi wassalam dan orang-orang yang mencintai baginda sallahu a’alayhi wassalam.


Penceramah telah membawa khalayak untuk mengenali siapakah Sayyidah Khadijah Al Kubro. Adalah sangat penting untuk kita mengenali beliau agar selepas itu akan timbul bibit kecintaan kepada wanita yang sangat dikasihi oleh Rasulullah sallahu a’layhi wassalam. Apabila telah timbul kecintaan kepada Sayyidah Khadijah maka kita akan mencontohi wanita penghuni syurga ini.


Penceramah juga telah berkongsi dengan khalayak tentang kedudukan Sayyidah Khadijah Al Kubro yang sangat mulia di sisi Allah SWT sehingga terakam peristiwa Allah SWT menyampaikan ‘salam’ kepada Sayyidah Khadijah Al Kubro melalui perantaraan Malaikat Jibril alaihisallam.


Kertas Kerja kedua dengan tajuk Sayyidah Khadijah Al Kubro di hati Rasulullah sallahu a'layhi wassalam telah disampaikan dengan cukup terkesan oleh Yang Mulia Al Habib Ali Zeinal Abidin Al Hamid daripada Majlis Ta’lim Darul Murtadza Kuala Lumpur.


Tak sesiapapun yang mampu menjwab soalan ini kecuali tuan empunya hati, yaitu Rasulullah sallahu a'layhi wassalam, tetapi apa di ketengahkan oleh penceramah adalah sedikit dari suara hati baginda Rasulullah s.a.w ketika mengungkapkan akan kedudukannya di hati baginda Rasulullah sallahu a'layhi wassalam


Siti Aisyah r.a berkata: Rasulullah sallahu a'layhi wassalam hampir setiap kali keluar rumah menyebut nama khadijah dan memujinya. Pada suatu hari aku dengan perasaan cemburu aku berkata: “Dia itu ( khadijah) tidak lebih hanya seorang wanita tua, dan Allah telah menggantikan untukmu yang lebih baik darinya”, maka baginda Rasulullah s.a.w marah seraya bersabda: Demi Allah! Allah tidak menggantikan untukku yang lebih baik darinya, Khadijah beriman kepadaku ketika orang-orang ingkar, dia membenarkan aku ketika orang-orang mendustakan dan dia menolongku dengan hartanya ketika orang-orang tidak memberiku apa-apa, dan Allah memberikan untukku zuriat darinya yang tidak ada pada yang lain.

(Riwayat Ahmad dan Thabrani)


Dari Aisyah r.a ia berkata: Aku tak pernah cemburu terhadap isteri-isteri Rasulullah sallahu a'layhi wassalam sepertimana kecemburuanku kepada khadijah, walaupun aku tak berjumpa dengannya. Lalu ia berkata: Dan adalah Rasulullah sallahu a'layhi wassalam terkadang menyembelih kambing lalu bersabda: Hantarkan daging kambing ini kepada sahabat-sahabat Khadijah r.a.


Hari pertama seminar dilengkapkan dengan pembentangan kertas kerja ketiga daripada YBhg Ustazah Halimah Alaydrus merupakan anak murid kepada ulama Hadramaut, Yaman iaitu Habib Umar Al Hafiz iaitu pengasas Darul Mustafa dan merupakan keturunan Rasulullah sallahu a’alaihi wassalam, pendakwah bebas dan penulis buku Best Seller Bidadari Bumi. Beliau telah membentangkan kertas kerja Sayyidah Khadijah Al Kubro: Tauladan Isteri dan Ibu Mithali.


Penceramah ini telah menggali dengan penuh teliti peranan Sayyidah Khadijah Al Kubro sebagai seorang isteri, bagaimana teknik Sayyidah Khadijah Al Kubro dalam menenangkan hati baginda Rasulullah sallahu a'layhi wassalam setelah menerima wahyu melalui perantaraan Malaikat Jibril a.s, pengorbanan seluruh harta dan kekayaan demi membantu baginda Rasulullah sallahu a'layhi wassalam menyebarkan Islam. Kalau tidak kerana harta yang dimiliki oleh Sayyidah Khadijah r.a barangkali kita tidak dapat merasakan ni’mat Islam di alam Melayu.

Begitu juga peranan beliau sebagai seorang ibu. Sayyidah Khadijah r.a satu-satunya isteri yang melahirkan zuriat Rasulullah sallahu a'alayhi wassalam. Di madrasah didikan Sayyidah Khadijah lah lahir insan-insan pejuang agama yang hebat, lahir wanita sehebat Saidatina Fatimah r.a. Mengapa kita sukar untuk mencontohi beliau dalam mencorak didik anak-anak kita di zaman sekarang?


Hari kedua seminar telah menampilkan YBhg Ustazah Asni Mansor Al Hafizah, Pengarah Urusan di Misytaq Training & Motivation. Beliau telah mengupas satu topik Sayyidah Khadijah Al-Kubro : Peranan dan Sumbangan Beliau dalam dakwah Rasulullah sallahu a'layhi wassalam.


Penceramah terakhir iaitu YBhg Prof. Madya Dr Harlina Halizah Hj Siraj, Pakar Perunding Obstetriks & Ginekologi Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) telah mengupas topik Peranan NGO Wanita Islam dalam meneladani Keperibadiaan Sayyidah Khadijah Al Kubro.


Majlis Perasmian Penangguhan Seminar Memperingati Ketokohan Sayyidah Khadijah r.a telah disempurnakan YB Datin Hajah Fatimah Abdullah, Menteri di Jabatan Ketua Menteri (sekarang Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Sarawak). Majlis ini turut dihadiri oleh Pengarah Biro Wanita Sarawak, YBhg Puan Norjanah Hj Razali. Majlis Perasmian Penangguhan ini juga turut diserikan dengan alunan qasidah dan maulid daripada Kumpulan Remaja yang terdiri daripada bekas-bekas peserta program di bawah Biro Perkhidmatan Pendidikan Majlis Islam Sarawak.


Saudara/Saudari juga boleh melayari weblog Saudari Nurr Azreen Bt Abdul Karim, salah seorang penggerak Seminar Memperingati Ketokohan Sayyidah Khadijah Al Kubro tentang catatan beliau mengenai seminar ini Tribute to Seminar Memperingati Ketokohan Sayyidah Khadijah Al Kubra

0 comments: